Saturday, June 2, 2012

Tersedar Setelah Terjatuh...

Insan, sesuai dengan maksudnya iaitu makhluk yang tidak sempurna. Bukan maksud fizikal semata-mata, tetapi dari segi kerohanian dan tabiat, budaya ataupun personaliti individu, insan tidak akan pernah sempurna. Walaupun begitu, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya mendekati kesempurnaan itu sendiri untuk keharmonian manusia sejagat.

Satu fenomena biasa, satu lumrah dunia, satu kenyataan biasa : manusia hanya akan tersedar setelah terjatuh. Jika sebelum ini, kita merasakan kitalah raja di atas muka bumi, berjalan dengan angkuh memijak batu dan kayu, tidak sudi memijak tanah lumpur walaupun sedikit…tetapi apabila terjatuh, batu dan kayu itulah tempat kita berpaut, lumpur itulah tempat kita berpijak tanpa menghiraukan kotorannya lagi. Kerana di saat itu kita telah tersedar bahawa sekuat mana pun kita, tempat kembali adalah perut bumi yang gelap jua. Semoga dengan sekali ujian dapat memberikan satu pengajaran, bahawa kita insane biasa, akan terus diuji. Allah sentiasa bersama kita.

"Allah SWT. telah mewahyukan kepada Daud a.s. dengan firmanNya: "Wahai Daud, perumpamaan dunia iaitu laksana bangkai di mana anjing-anjing berkumpul mengelilinginya, menyeretnya ke sana ke mari. Apakah engkau suka menjadi seekor anjing, lalu ikut bersama mereka menyeret bangkai itu ke sana ke mari?" Wahai Daud! Berlemah-lembutlah dalam perbicaraan dan sederhanalah dalam berpakaian. Kemasyuran namamu di khalayak ramai tidak akan serupa selama-lamanya (dengan apa-apa yang diperolehi) di akhirat. (Hadis qudsi riwayat al-Madani di dalam kitabnya)

Allah memberitahu kepada Nabi Daud a.s. dengan perantaraan Jibril a.s.mengenai dunia. Dunia penuh dengan shahwat, hawa nafsu dan kesedapan yang menjijikkan. Betapa hinanya mereka yang menyalahgunakan dunia atau menyimpang dari garis yang telah ditentukan. Bagaikan anjing yang mengerumuni bangkai busuk dan berebut menariknya ke sana ke mari. Nabi Daud diingatkan Allah agar jangan berbuat seperti anjing atau menjadi anjing yang ikut bersama-sama anjing lainnya merebut bangkai busuk yang sangat jijik itu.

Baginda s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin