Saturday, September 10, 2011

Pelayaran yang satu, Pengorbanannya beribu...

Kehidupan ibarat sebuah pelayaran... Bermula daripada tarikh kita dilahirkan, saat itu sebuah kapal yang baru, dengan segala sistem pelayaran dan enjin yang baru telah pun bersedia di sebuah pelabuhan, menanti masa untuk memulakan pelayaran panjang... Alhamdulillah, kita semua selamat dilahirkan ke dunia, dan kapal itu mula menaikkan sauhnya apabila enjin mula dihidupkan... saat ini kita mula meninggalkan pelabuhan yang telah lama kita diami, menuju ke tengah lautan yang indah tapi penuh dengan rahsia... kita membesar dengan baik, dibelai dan diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ibu bapa kita, kita mula belajar merangkak, berjalan, dan akhirnya ghairah untuk berlari... kita diberikan pendidikan sebagai bekalan kehidupan, dan di kala itu ibarat seorang kapten kapal yang mula mempelajari segala sistem di dalam kapal itu, dan mempraktikkan segala langkah keselamatan sekiranya berlaku kerosakan atau ribut...

Semakin jauh meninggalkan lautan, kapal itu semakin laju seolah semakin yakin dengan lautan tenang... kadang kapten terlupa untuk menyemak semula peta laluan yang disediakan, hingga kapal tersasar beratus kilometer sebelum disedarinya... Alhamdulillah, mujur kapten sempat menukar semula haluan kapal itu ke arah yang sepatutnya... sedangkan masih banyak kapal yang terus tersalah haluan kerana ceteknya ilmu pelayaran...

Lautan yang tenang jangan diduga, ribut yang datang secara tiba-tiba terus menghempas kapal yang sedang laju... sedangkan sang kapten yang bijak perlu melabuhkan sauh bagi memastikan kedudukan kapal stabil dan tidak terbalik ketika dilambung ombak... di saat kita ditimpa kesusahan atau ujian, janganlah kita terburu-buru membuat keputusan, sebaliknya ambil masa untuk berfikir dan menganalisa semua masalah dan penyelesaian sebelum membuat sebarang keputusan... jangan dibiar kapal terus melawan arus ombak besar tanpa sebarang langkah keselamatan, bimbang terbalik lalu tenggelam ke dasar lautan yang gelap lagi sunyi... setidak-tidaknya sedikit kerosakan masih boleh diperbaiki lagi...

Secanggih mana pun kapal, tetap berpotensi untuk mengalami kerosakan... ambillah masa untuk sentiasa memeriksa keadaan enjin dan segala sistem yang ada supaya kerosakan dapat dielakkan setidak-tidaknya untuk satu jangka masa yang panjang, menanti ketibaan pelabuhan terdekat untuk mengganti komponen yang diperlukan... di saat kita mengalami kegelapan hati dan kerunsingan, ambillah masa untuk bermuhasabah dan berdoa kepada Allah agar diberikan bantuanNya... dekatilah Allah setiap masa, di saat susah mahupun senang, semoga pelayaranmu bertambah berkat, semoga kerosakan kapal dapat dibaiki di pelabuhan tahajud...

Kini pelayaran semakin menghampiri pelabuhan persinggahan, di sebuah pulau misteri... di saat ini kapal hanya bergerak perlahan dan semakin perlahan, menghampiri pelabuhan yang kecil lagi sempit, tapi mungkin pelabuhan yang besar dan selesa bagi mereka yang beriman... enjin mula dimatikan sebaik sauh siap untuk diturunkan... kren menghampiri kapal, mengangkat setiap kontena yang dibawa, disusun di pelabuhan dengan kemas, siap untuk diperiksa... di saat itu, hanya bekalan yang tinggal sahaja menjadi peneman kita, sedangkan bekalan yang tercicir jatuh ke lautan tidak lagi dapat diselamatkan... bekalan yang rosak dihempas ombak tidak lagi dapat digunakan... dan bekalan yang ada kini semakin berkurangan... adakah cukup bekalan ini untuk kita gunakan sepanjang di pelabuhan? Kita sedang menanti untuk bergerak ke destinasi akhir... tapi siapa tahu berapa lama kita akan berada di pulau ini... kapal ini telah banyak berjasa, menjadi tempat untuk kita mempersiapkan bekalan amal... dan  kapal ini hanyalah pinjaman dan perlu dipulangkan...

SELAMAT MENERUSKAN PELAYARAN...
DAN SELAMAT MEMULAKAN PELAYARAN BARU KEPADA YANG BARU DILAHIRKAN...
SEMOGA KOMPAS KITA SENTIASA BETUL, DAN SEMOGA PETA LALUAN KITA SENTIASA DISEMAK AGAR TIDAK TERSALAH LALUAN... ^_^

OLEH : MOHD HAFIZ BIN ZAINUDDIN