Saturday, June 2, 2012

Tersedar Setelah Terjatuh...

Insan, sesuai dengan maksudnya iaitu makhluk yang tidak sempurna. Bukan maksud fizikal semata-mata, tetapi dari segi kerohanian dan tabiat, budaya ataupun personaliti individu, insan tidak akan pernah sempurna. Walaupun begitu, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya mendekati kesempurnaan itu sendiri untuk keharmonian manusia sejagat.

Satu fenomena biasa, satu lumrah dunia, satu kenyataan biasa : manusia hanya akan tersedar setelah terjatuh. Jika sebelum ini, kita merasakan kitalah raja di atas muka bumi, berjalan dengan angkuh memijak batu dan kayu, tidak sudi memijak tanah lumpur walaupun sedikit…tetapi apabila terjatuh, batu dan kayu itulah tempat kita berpaut, lumpur itulah tempat kita berpijak tanpa menghiraukan kotorannya lagi. Kerana di saat itu kita telah tersedar bahawa sekuat mana pun kita, tempat kembali adalah perut bumi yang gelap jua. Semoga dengan sekali ujian dapat memberikan satu pengajaran, bahawa kita insane biasa, akan terus diuji. Allah sentiasa bersama kita.

"Allah SWT. telah mewahyukan kepada Daud a.s. dengan firmanNya: "Wahai Daud, perumpamaan dunia iaitu laksana bangkai di mana anjing-anjing berkumpul mengelilinginya, menyeretnya ke sana ke mari. Apakah engkau suka menjadi seekor anjing, lalu ikut bersama mereka menyeret bangkai itu ke sana ke mari?" Wahai Daud! Berlemah-lembutlah dalam perbicaraan dan sederhanalah dalam berpakaian. Kemasyuran namamu di khalayak ramai tidak akan serupa selama-lamanya (dengan apa-apa yang diperolehi) di akhirat. (Hadis qudsi riwayat al-Madani di dalam kitabnya)

Allah memberitahu kepada Nabi Daud a.s. dengan perantaraan Jibril a.s.mengenai dunia. Dunia penuh dengan shahwat, hawa nafsu dan kesedapan yang menjijikkan. Betapa hinanya mereka yang menyalahgunakan dunia atau menyimpang dari garis yang telah ditentukan. Bagaikan anjing yang mengerumuni bangkai busuk dan berebut menariknya ke sana ke mari. Nabi Daud diingatkan Allah agar jangan berbuat seperti anjing atau menjadi anjing yang ikut bersama-sama anjing lainnya merebut bangkai busuk yang sangat jijik itu.

Baginda s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Monday, February 6, 2012

Islam Pada Lisan atau Amalan...?

Beberapa tahun yang lalu, aku dipertemukan dengan Jenny di kelas "99 Nama-Nama Allah S.W.T." Jenny ialah seorang teman yang baru memeluk Islam dua tahun sebelum pertemuan kami. Terkadang diri teringat akan pertemuan dengan Jenny membuatkan aku tafakur sendiri, menilai diriku, saat itu.

Aku mula bermuhasabah, sudah berapa tahun aku menjadi seorang Muslim? 19 tahun.

Sudah berapa tahun aku benar-benar menjadi seorang Muslim? Aku tegas menjawab persoalan diriku, 19 tahun.

Namun melihat perwatakan Jenny membuatkan aku meragui jawapanku itu. Jenny yang selalu berpakaian labuh, bertudung labuh menutupi bahagian dadanya, memakai sarung kaki dan sentiasa menampakkan senyuman dan kecerian di wajahnya membuatkan aku berfikir. Aku
mula membandingkan Jenny dengan diriku.

Sudah cukup sempurnakah aku menutup auratku selama ini atau adakah selama ini aku cuma hanya bersikap sambil lewa mengikut arus trend pakaian yang kulihat dipakai oleh perempuan-perempuan di tanahairku yang merupakan sebuah negera Islam? Adakah diriku benar-benar mengetahui aurat-aurat yang wajib ditutup oleh seorang perempuan yang sudah baligh?

Tertancap difikiranku tentang sabda Rasulullah S.A.W kepada Asma' binti Abu Bakar R.A, "Wahai Asma' sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya" [HR Abu Dawud]

Allah S.W.T juga berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah An-Nuur 24: Ayat 31)

Menghabiskan masa dengan Jenny sedikit sebanyak mencabar pemikiranku kerana seolah-olah dia lebih banyak mengetahui mengenai Islam, mengenai Allah dan mengenai Rasulullah S.A.W. Jenny kelihatan lebih bersungguh-sungguh di dalam mempelajari dan mengamalkan Islam dan percakapannya sentiasa dipenuhi dengan perasaan cintanya kepada Allah dan kasihnya kepada Rasulullah S.A.W. Matanya berkilauan dan terlihat airmata di hujung matanya setiap kali ia menyatakan betapa bersyukurnya dia menemui Islam, betapa Islam itu satu hadiah dari Allah yang sangat berharga bagi dirinya. Ini membuatkan aku terdiam membisu.

Jenny baru sahaja memeluk Islam selama dua tahun pada ketika itu, sedangkan aku adalah seorang Muslim dari sejak lahir, dididik dan dibesarkan dalam suasana Islam. Tapi adakah selama ini aku benar-benar seorang Muslim di sisi Allah?

Daripada 19 tahun kehidupanku sebagai seorang Muslim, sudah berapa tahun pula aku menjadi seorang Mukmin? Sudahkah aku mencapai standard seorang Mukmin di sisi Allah?

Mengimbas kehidupan ku dari sejak kecil, didikan agama itu memang cukup. Aku terima didikan agama dari kedua ibubapaku yang cukup mengambil berat mengenai hal agama. Selama enam tahun juga, aku menghadiri sekolah agama yang mengajarku berbagai ilmu agama
termasuk ilmu al-Qur'an dan tajwid, ilmu tarikh (sejarah), ilmu tauhid, ilmu tasawwuf, ilmu puasa dan berbagai lagi jenis ilmu agama.

Terus-terang kunyatakan, pada waktu itu, aku tidak menyedari kepentingan ukhrawi disebalik ilmu-ilmu itu. Sebaliknya, kutitikberatkan pula akibat duniawinya. Aku berlumba-lumba menghafalkan fakta-fakta, dalil-dalil dan sejarah Islam untuk mendapatkan markah tinggi. Namun begitu, ibu bapaku juga selalu menekankan kepentingan menyempurnakan kewajiban seorang Muslim demi menyelamatkan diri dari api neraka dan menempah tiket ke syurga.

Apakah yang terjadi dengan keikhlasan diriku menuntut dan mengamalkan ilmu yang kupelajari sewaktu itu? Dimanakah penghayatanku disebalik menyempurnakan kewajipan-kewajipan dan ibadah itu?

Aku lalu bertanya lagi pada diriku. Apakah sebenarnya tujuan mempelajari ilmu, mengamalkan ilmu itu dan beribadah kepada Allah? Tidak mungkin semua itu cuma untuk menyelamatkan diriku dari api neraka dan untuk menempah tiket masuk ke dalam syurga. Pasti ada sesuatu sebab yang lain. Pasti ada.

Jenny menyedarkan aku mengenai kepentingan 'penghayatan' dalam beribadah dan kepentingan mengetahui tujuan kehidupan ini. Aku mula belajar erti kehidupanku, Islam bukan saja sebagai agamaku tetapi sebagai cara hidupku. Itu memberikan makna yang sangat berbeza!

Sepanjang perjalanan dan penghijrahan memperbaiki diriku, banyak yang aku pelajari, banyak juga titisan air mataku yang gugur. Hatiku hancur dan remuk bila menyedari betapa jahilnya diriku tentang agamaku sendiri. Agama Islam yang kufikir telah kukenali semenjak kecil. Aku semakin teruja untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengenali Allah, rasul-rasul-Nya dan Islam itu sendiri. Aku juga semakin teruja untuk mengupas erti dan tujuan kehidupanku yang sebenar.

Allah yang menciptakan aku, seorang manusia di muka bumi ini, cuma seorang hamba yang mengharapkan redha-Nya dan cinta-Nya. Apa tujuan hidupku yang sebenar? Kenapa Allah menciptakan aku? Selama hidupku, aku tercari-cari. Aku selalu tercari-cari makna kehidupan. Walaupun aku lahir dan hidup di negara Islam, jawapan itu tidak dapat kutemui.

Walaubagaimanpun, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui dan Allah itu juga Maha Pemberi, aku tidak putus-putus berdoa untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah dari-Nya. Aku memohon agar mendapat kefahaman dalam mempelajari ilmu agama dan cara hidup yang di redhai-Nya. Penciptaku lalu mengajarkanku. Dia bukan saja mengajarku kenapa aku diciptakan. Tetapi Dia juga mengajarku tujuan sebenar manusia diciptakan. Semuanya tertulis di dalam kitab suci Al-Qur'an.

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. (Surah adz-Dzaariyaat 51: Ayat 56)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah 2: Ayat 30)

Sekarang aku tahu bahawa tujuan penciptaan manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Mulai saat itu, aku tahu tujuan hidupku. Hidupku menjadi lebih jelas dan terang dan aku menjadi lebih faham, yakin dan pasti akan matlamat dan tujuan hidupku.

By : iluvislam.com

Tuesday, November 1, 2011

Walau Siapa Dirimu, Jangan Dilupakan Tugas Ini...

Di celah-celah kesibukan manusia mencari pulangan harta dan gaji untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami, bapa, anak dan sebagainya. Ingatan berterusan diperlukan agar kita  semua  tidak mengabaikan usaha untuk mencari bekalan untuk kehidupan hakiki.

Jika kita ingin dianggap ‘manusia' dan bukan seperti ‘binatang ternak' di sisi Allah, ingin mendapat kedudukan istimewa umat Muhammad di akhirat kelak, peruntukanlah masa secukupnya untuk melakar peta perjuangan yang patut ditempuhi. Jangan sesekali kita lupa pula untuk melakarkan tahap-tahap bagi mencapainya, juga dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

Dari senarai panjang tugas dan objektif kehidupan kita di atas muka bumi ini, Ibn Mas'ud r.a mengingatkan sesiapa yang melupakan tanggungjawabnya adalah ibarat ‘bangkai hidup'. Ia tidak lain dan tidak bukan, satu tugas yang wajib kita laksanakan;

"Al-Amr bil Maʿruf wa al-nahyu ʿAn al-Mungkar"
Iaitu : menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran.

DIRI TIDAK SEMPURNA

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas itu tidak sama sekali terangkat dari senarai kewajiban kita. Malah di waktu kita melakukan kesalahan yang sama.
Memang benar amat besar kemurkaan Allah taʿala terhadap sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Pun begitu, kemurkaan Allah lebih besar kepada mereka yang melakukan kebaikan dan terus melupakan seruan kepadanya, atau tidak melakukan kebaikan dan tidak juga mencegah keburukan. Ia adalah dosa berganda.

Justeru itu, Allah tala sendiri mengutuk sikap Yahudi yang mana mereka TIDAK SALING MENCEGAH KEMUNGKARAN yang dilakukan oleh sesama mereka. Lihatlah firman Allah berkenaan celaan ini pada surah Al-Maidah :

كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Ertnya : kerana mereka (Yahudi) itu mereka tidak saling mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mereka, amat buruklah apa yang mereka kerjakan. ( Al-Maidah : 79)
 
Dari Ibn Mas'ud r.a :
لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم
Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka ( seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan ‘Isa. ( Riwayat Ahmad)

Nabi menyebut :
والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم
Ertinya : Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepada kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ʿazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)

Sekarang  tugas kita, menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita membezakan mana yang mungkar dan mana yang maʿruf. Hanya melalui jalan itu, kita mampu melaksanakan tugas tersebut.

SERIBU ALASAN & ILMU BELUM MENCUKUPI

Jangan sesekali ditipu oleh Syaitan yang sentiasa menghasut kita sebagai ‘tidak baik', ‘tidak soleh' dan ‘belum cukup ilmu' dan seribu satu macam alasan lagi. Pastikan semua bisikan itu diharungi dengan keazaman dan usaha yang tinggi untuk memadamkannya.

Hakikatnya semua kita belum cukup ilmu, walau sehingga ke liang lahad sekalipun belum tentu cukup ilmu kita...namun Allah mewajibkan kita berusaha untuk menyampaikan apa yang kita faham dariNya dan sunnah rasulNya kepada manusia lain.  

Berusahalah mencari kefahaman ilmu dan menyampaikannya seperti kita mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarga.

Nabi juga bersabda :
الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما، ولكن ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر
Ertinya : Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham (wang dan harta), tetapi mewariskan ilmu, seseiapa yang mengambilnya maka dia telah mendapat kebaikan yang melimpah (Riwayat Abu Daud)

JIKA AJAKAN DAN TEGAHAN TIDAK DIIKUTI?

Sesudah ajakan dan larangan dalam bentuk yang sebaik mungkin, namun masih tidak didengari, tatkala itu sedarlah bahawa tugas kita hanya menyampaikan...

Allah menyebut:
إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلاغُ
Ertinya : Sesungguhnya tiada kewajiban atasmu kecuali menyampaikan (sebaiknya) ( Al-Syura : 48)


Dan juga ingatan Allah taʿala :
وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Ertinya : Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya ( Yusuf : 103)


Tetapi adalah ganjaran bonus bagi mereka yang terus menerus menasihati dan tidak berputus asa memperbetulkan kesilapan diri sendiri dan dalam masa yang sama mendidik orang lain ke jalan benar walaupun kerap kali tidak diendahkan...makin besar cabaran, makin besar pula ganjaran menempuhinya...
 
Akhir sekali, marilah kita sama-sama merenung teguran Allah ini:

أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Ertinya : Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit (Surah al-Taubah : 38)

 

Monday, October 31, 2011

Tenanglah Hati... (^^,)

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?
Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"
Apa masalah kita?
Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.
Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?
Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..
Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.
Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.
Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.
Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

www.iluvislam.comAinul Mardiyah
editor:mawaryangtinggi

Saturday, September 10, 2011

Pelayaran yang satu, Pengorbanannya beribu...

Kehidupan ibarat sebuah pelayaran... Bermula daripada tarikh kita dilahirkan, saat itu sebuah kapal yang baru, dengan segala sistem pelayaran dan enjin yang baru telah pun bersedia di sebuah pelabuhan, menanti masa untuk memulakan pelayaran panjang... Alhamdulillah, kita semua selamat dilahirkan ke dunia, dan kapal itu mula menaikkan sauhnya apabila enjin mula dihidupkan... saat ini kita mula meninggalkan pelabuhan yang telah lama kita diami, menuju ke tengah lautan yang indah tapi penuh dengan rahsia... kita membesar dengan baik, dibelai dan diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ibu bapa kita, kita mula belajar merangkak, berjalan, dan akhirnya ghairah untuk berlari... kita diberikan pendidikan sebagai bekalan kehidupan, dan di kala itu ibarat seorang kapten kapal yang mula mempelajari segala sistem di dalam kapal itu, dan mempraktikkan segala langkah keselamatan sekiranya berlaku kerosakan atau ribut...

Semakin jauh meninggalkan lautan, kapal itu semakin laju seolah semakin yakin dengan lautan tenang... kadang kapten terlupa untuk menyemak semula peta laluan yang disediakan, hingga kapal tersasar beratus kilometer sebelum disedarinya... Alhamdulillah, mujur kapten sempat menukar semula haluan kapal itu ke arah yang sepatutnya... sedangkan masih banyak kapal yang terus tersalah haluan kerana ceteknya ilmu pelayaran...

Lautan yang tenang jangan diduga, ribut yang datang secara tiba-tiba terus menghempas kapal yang sedang laju... sedangkan sang kapten yang bijak perlu melabuhkan sauh bagi memastikan kedudukan kapal stabil dan tidak terbalik ketika dilambung ombak... di saat kita ditimpa kesusahan atau ujian, janganlah kita terburu-buru membuat keputusan, sebaliknya ambil masa untuk berfikir dan menganalisa semua masalah dan penyelesaian sebelum membuat sebarang keputusan... jangan dibiar kapal terus melawan arus ombak besar tanpa sebarang langkah keselamatan, bimbang terbalik lalu tenggelam ke dasar lautan yang gelap lagi sunyi... setidak-tidaknya sedikit kerosakan masih boleh diperbaiki lagi...

Secanggih mana pun kapal, tetap berpotensi untuk mengalami kerosakan... ambillah masa untuk sentiasa memeriksa keadaan enjin dan segala sistem yang ada supaya kerosakan dapat dielakkan setidak-tidaknya untuk satu jangka masa yang panjang, menanti ketibaan pelabuhan terdekat untuk mengganti komponen yang diperlukan... di saat kita mengalami kegelapan hati dan kerunsingan, ambillah masa untuk bermuhasabah dan berdoa kepada Allah agar diberikan bantuanNya... dekatilah Allah setiap masa, di saat susah mahupun senang, semoga pelayaranmu bertambah berkat, semoga kerosakan kapal dapat dibaiki di pelabuhan tahajud...

Kini pelayaran semakin menghampiri pelabuhan persinggahan, di sebuah pulau misteri... di saat ini kapal hanya bergerak perlahan dan semakin perlahan, menghampiri pelabuhan yang kecil lagi sempit, tapi mungkin pelabuhan yang besar dan selesa bagi mereka yang beriman... enjin mula dimatikan sebaik sauh siap untuk diturunkan... kren menghampiri kapal, mengangkat setiap kontena yang dibawa, disusun di pelabuhan dengan kemas, siap untuk diperiksa... di saat itu, hanya bekalan yang tinggal sahaja menjadi peneman kita, sedangkan bekalan yang tercicir jatuh ke lautan tidak lagi dapat diselamatkan... bekalan yang rosak dihempas ombak tidak lagi dapat digunakan... dan bekalan yang ada kini semakin berkurangan... adakah cukup bekalan ini untuk kita gunakan sepanjang di pelabuhan? Kita sedang menanti untuk bergerak ke destinasi akhir... tapi siapa tahu berapa lama kita akan berada di pulau ini... kapal ini telah banyak berjasa, menjadi tempat untuk kita mempersiapkan bekalan amal... dan  kapal ini hanyalah pinjaman dan perlu dipulangkan...

SELAMAT MENERUSKAN PELAYARAN...
DAN SELAMAT MEMULAKAN PELAYARAN BARU KEPADA YANG BARU DILAHIRKAN...
SEMOGA KOMPAS KITA SENTIASA BETUL, DAN SEMOGA PETA LALUAN KITA SENTIASA DISEMAK AGAR TIDAK TERSALAH LALUAN... ^_^

OLEH : MOHD HAFIZ BIN ZAINUDDIN 

Tuesday, March 1, 2011

LANGKAH PERTAMA MENJADI SEORANG MUSLIM

Bagaimanakah kita hendak menjadi seorang Muslim yang sebenar? Ini memerlukan satu penelitian yang cermat dan butir-butir yang terang.

Sekarang mari kita tumpukan pemikiran kita untuk memahami apakah erti perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam kerana ia dilahirkan dalam Islam? Adakah Muslim itu nama bagi sesuatu bangsa? Adakah seseorang itu menjadi Muslim dengan sebab ia adalah anak atau cucu bagi seorang Muslim? Adakah seseorang itu diperanakkan sebagai Muslim sebagaimana seorang anak Brahmin diperanakkan sebagai Brahmin? Adakah Muslim ini nama sesuatu kasta atau kelas seperti yang terdapat pada orang-orang Hindu? Adakah kita Muslim sebab kita dilahirkan di dalam masyarakat yang dipanggil masyarakat Muslim? Apakah jawaban kita? Jawaban kita sudah tentu tidak. Orang yang sedemikian bukanlah Muslim yang sebenarnya. Seseorang itu Muslim sebab ia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, ia bukan lagi Muslim. Samada seseorang itu orang Brahmin, atau Inggeris, atau Negro atau Cina, atau apa-apa bangsa sekali pun, ia akan diterima masuk ke dalam kumpulan masyarakat Islam bila ia menerima dan mengakui akan Islam. Akan tetapi, seseorang itu akan disingkirkan daripada masyarakat Islam apabila ia menolak dan menidakkan Islam walaupun ia adalah anak seorang Sayyid atau Pathan.

Sekarang fahamlah kita bahawa nikmat serta kurnia terbesar Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada kita ialah Islam. Ia bukanlah sampai kepada kita atas sebab keturunan atau bangsa. Ia bukanlah suatu benda yang secara sepontan sahaja berada pada kita samada kita ambil peduli atau tidak. Islam adalah suatu nikmat yang kita perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Jika kita berusaha bertungkus-lumus untuk mendapatkannya, kita akan layak menerimanya. Akan tetapi, jika kita tidak memperdulikannya, maka nikmat yang paling berharga ini adakan ditarik balik daripada kita. Na’uzubilla himinzalik-Semoga Allah menjauhkan hal demikian daripada kita.

Erti menerima Islam

Kita semua sekarang sudah tahu bahawa seseorang itu Muslim bila ia menerima Islam. Walaubagaimanapun, satu tanda tanya timbul di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu? Bagaimanakah kita boleh dianggap atau dikatakan telah menerima Islam? Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam dengan hanya berkata: “Saya telah menjadi seorang Islam atau saya telah menerima Islam?”

Adakah seseorang itu dikatakan menerima Islam bila ia boleh melafazkan beberapa patah perkataan Arab tanpa memahami maksudnya sebagaimana seorang Brahmin membaca beberapa ayat mentera Sanskrit yang dia sendiri tidak mengerti? Jawapan kita sudah tentu begini: “Seseorang itu dikatakan menerima Islam apabila ia menerima keIslamannya itu dengan sedar (siuman) dan sengaja (tanpa paksaan) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu sendiri.”

Apakah itu KUFUR dan apakah itu ISLAM ?

Kufur  bererti keengganan manusia untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Islam bererti keta’atan kepada Allah sahaja. Islam bererti keengganan kita untuk mengakui (menerima) segala cara-cara (sistem-sistem), undang-undang  serta peraturan-peraturan yang bertentangan dengan panduan-panduan Allah. Perbedaaan Islam dan Kufur ini telah diterangkan di dalam al Quran. Firman Allah :

“ Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
(Al-Maaidah : 44)

Memutuskan sesuatu atau menghakimkan sesuatu, tidak semestinya dilakukan  (dengan berpandukan Kitabullah) terhadap kes-kes dimahkamah sahaja. Sebenarnya hal ini dilakukan pada setiap kali seorang itu perlu membuat keputusan. Juga pada setiap ketika di dalam hidup seseorang itu yang memerlukan perlaksanaan sesuatu keputusan.

Kerap kali timbul keadaan di mana kita terpaksa membuat keputusan samada hendak melaksanakan sesuatu perkara atau tidak ? Kadang-kadang kita juga terpaksa memikirkan cara bagaimana sesuatu perkara itu patut dijalankan. Juga kadangkala timbul persoalan samada hendak menggunakan cara ini atau cara yang itu bagi menyelesaikan sesuatu perkara. Cara untuk kita mencapai suatu keputusan di dalam semua keadaan tadi telah termaktub di dalm Kitabullah (iaitu Al Quran) dan sunnah Rasulullah SAW. Cara yang lain dari cara tersebut  ialah cara yang hanya digerakkan oleh nafsu tamak, adat turun temurun (ancenstral customs) atau undang-undang buatan manusia. Kalau seseorang  itu mengenepikan cara  (sistem) yang telah disarankan oleh Allah SWT dengan mengambil cara yang lain untuk tindakannya, maka sebenarnya ia sedang mengikuti jalan (wasilah) kekufuran.

Jika ia mengambil jalan kekufuran tadi  untuk keseluruhan hidupnya, maka ia adalah kafir yang sepenuhnya. Jika ia menta’ati panduan-panduan Allah dalam menyelesaikan beberapa perkara akan tetapi di dalam beberapa perkara yang lain kita memberi keutamaan kepada nafsu kita atau kepada adat-adat jahiliyyah kuno atau kepada undang-undang bikinan manusia untuk menyelesaikannya, maka  ini bermakna kita telah melibatkan diri kita ke dalam kancah kekufuran pada peringkat seorang penderhaka. Seseorang boleh menjadi kafir separuh (1/2) atau satu suku (1/4) atau satu persepuluh (1/10) atau satu perduapuluh (1/20). Ringkasnya, kekufuran itu dikira mengikut sejauhmana ia telah menderhaka terhadap undang-undang atau peraturan Allah.

Islam ialah perhambaan (sepenuhnya) manusia terhadap Allah SWT. Ini berma’na ia tidak menjadi hamba kepada dirinya; nenek moyangnya; atau keluarganya; dan bangsanya; atau tuan guru dan ulamaknya; atau tuan tanah dan tuan hakimnya dan tuan pemungut cukainya. Ianya adalah perhambaan kepada Allah SWT sahaja.


Saturday, February 26, 2011

Persoalan Ketiga

Persoalan Ketiga : Kemanakah kesudahan kita ?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:-


 Terjemahannya:

“ Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan  kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “
(Surah An Najm ayat 42 – 44)