Thursday, January 27, 2011

Jangan dilupa kelopakmu...

Wahai pemudi, engkau aku umpamakan sekuntum bunga yang cantik, menghiasi taman dunia ini dengan pelbagai warna dan haruman asli. Setiap pagi engkau kelihatan menyerlah dengan keindahanmu, Subhanallah, begitu teliti Allah menciptakanmu. Setiap petang engkau kelihatan tenang di bawah redup cahaya, memberi inspirasi dan semangat kepada pemuda yang lemah. Setiap malam engkau berseri di bawah cahaya bulan yang mendamaikan, melengkapkan suasana yang dingin dan sunyi...

Wahai pemudi, bunga bestari...suatu ketika dahulu ketika engkau masih kecil, engkau dilindungi oleh kelopakmu yang setia, engkau dipelihara daripada panas dan basah, engkau diselamatkan dari lebah yang mencari madu...tapi apabila engkau telah dewasa, engkau mula berani mengembangkan wajahmu, membuka kelopak itu satu masa dahulu...kini engkau telah pun menjadi seperti apa yang engkau mahu, engkau punya wajah yang indah dan berseri, engkau pamerkan kepada setiap yang melalui taman itu...

Akhirnya ditakdirkan suatu masa, lebah mula mendatangimu, menghirup madumu...engkau terus melempiaskan kecantikanmu, kerana engkau cemburu dengan bunga-bunga lain yang semakin mengembang mekar...engkau bersaing untuk menarik pandangan pemuda...sehingga engkau terlupa, terlupa kepada kelopak yang pernah melindungimu suatu ketika dahulu...melindungimu dari panas dan hujan, memeliharamu daripada lebah dan kumbang...

Akhirnya kelopakmu luruh menyembah bumi, kerana tidak mampu lagi menjagamu...engkau semakin membesar, tetapi engkau lupa kepada bumi tempat engkau tumbuh. Engkau terlupa kepada cahaya matahari dan air hujan yang Allah turunkan untuk menghidupkanmu, dan engkau juga terlupa bahawa kecantikan itu adalah ujian buatmu...

Engkau begitu asyik, mempamerkan kecantikanmu seolah-olah engkau rugi jika kecantikan itu disimpan...tetapi engkau terlupa bahawa kecantikan itu juga bakal memusnahkanmu...akhirnya madumu habis dirampas sang lebah, dan jasadmu makin lemah, hayatmu makin hampir, tenagamu makin kurang. Tiba masanya engkau kembali menyembah bumi, disiram semula hujan dan dipancari cahaya matahari, tetapi engkau tidak mampu hidup kembali...pemergianmu bukanlah untuk kembali ke bumi, bunga yang lain pula akan tumbuh di taman itu, dan akan mengulangi kesilapanmu...

Sedarilah wahai pemudi, Allah telah menyampaikan amanat kepadamu melalui kitab suci al-Quran, ayat-ayatnya adalah kata-kata Allah, begitu suci kitab itu diturunkan buat kita yang hina ini...malah kita juga sombong tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya...kajilah kitab itu buat bekalan hidup kita, buat panduan laluan kita, buat pedoman dan pengajaran kesilapan kita, kerana di dalamnya terkandung semua asas ilmu, tersembunyi berjuta rahsia, termuat segala jalan keluar daripada permasalahan kita...

Semoga coretan ini dapat menjentik hati kita agar menyedari bahawa kita sering terleka. Dalam kesibukan mengejar cita-cita, kadangkala kita terlupa mengingatiNya, malah terlupa saat kematian makin tiba. Apabila terdengar berita kematian seseorang, bergetar hati kita kerana tidak pernah kita bimbangkan saat itu terjadi kepada kita, kerana rakusnya mengejar dunia. Ingatlah, atas setiap apa pun yang kita lakukan, redha Allah perlu kita cari...sekian daripada hamba yang lemah, mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap. Selagi jantung ini berdegup, semoga kita sentiasa berada pada jalan yang benar dan berjuang untuk agama Allah, sebagai bekalan saham akhirat yang tidak akan rugi, insyaAllah...

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Thursday, January 20, 2011

Terlupa Makan?

Setiap hari bangun dari tidur, terlintas di fikiran untuk menjamah sarapan pagi sebagai bekalan tenaga untuk bekerja...setibanya tengahari,sekali lagi makanan diperlukan untuk membekalkan lebih banyak tenaga..begitu juga malam, dan tidak kurang juga manusia yang memerlukan makanan tengah malam bagi yang bekerja keras...

Ternyata peranan makanan sangat penting untuk keperluan fizikal, iaitu tubuh badan kita...apabila diperlukan hidangan, kita penuhi keinginannya...apabila diperlukan pakaian, kita tutupinya...apabila diperlukan rehat,kita tidurkannya...jika tidak,kita akan terasa lemah dan longlai untuk bekerja,apatah lagi sebagai pelajar...

Tapi sedarkah kita, dalam usaha keras setiap hari untuk memenuhi keperluan jasad ini, ternyata keperluannya tidak pernah terhenti malah jasad ini akan terus menagih janjinya untuk diberikan segala bekalan dengan cukup...lemahnya jasad ini, tidak boleh kurang atau terlebih makan, tidak boleh kurang atau terlebih tidur, tidak boleh kurang atau terlebih bekerja...semuanya mesti sederhana dan berterusan...sampai bila-bila pun keperluan jasad ini jika kita isi, tetap tidak akan puas...malah ketenangan hidup itu bukanlah bergantung kepada jasad ini semata-mata...

Berapa ramai orang yang bekerja untuk keperluan kebendaan semata-mata? Ramai bukan? Mengapa begitu? Kerana mereka merasakan bahawa kebahagiaan itu adalah terletak pada keperluan fizikal semata-mata...kita terlupa sesuatu, bahkan terus lalai dari mengingati sesuatu..apakah itu?

Dalam mengisi keperluan fizikal yang dipinjamkan Allah, kita terlupa bahawa roh juga memerlukan makanan...di saat perut terasa lapar dan dahaga, kita terlupa bahawa roh ini juga sangat rindukan Tuhannya...mengapa kita begitu zalim menyekat roh ini daripada melunaskan keperluannya? Pernahkan kita rasa betapa sakitnya rasa seorang ibu yang kehilangan anak? Pernahkan kita rasa betapa sakitnya kehilangan insan yang sangat kita cintai? Dan pernahkah kita rasakan betapa peritnya penderitaan roh ini yang sangat rindukan Tuhannya? Jika kita mampu habiskan berpuluh jam untuk memenuhi keperluan fizikal, mengapa sukar untuk meluangkan masa tidak sampai 1 jam pun sehari untuk roh bertemu penciptanya?

Apakah pandangan kita terhadap seseorang yang menghalang orang lain daripada menunaikan solat?  Biadab bukan? Malah lebih zalim daripada Yahudi. Tapi pernahkah kita terfikir, kadangkala kita sendiri menghalang roh kita daripada bertemu Allah, malah kita juga yang menghalang roh kita daripada mendekati ayat-ayat Allah. Apakah bezanya kita dengan Yahudi yang cuba menjauhkan Islam daripada Quran? Bukankah kita yang menjauhinya dengan hati sendiri?

Ternyata kebahagiaan itu bukanlah bergantung kepada keperluan fizikal, tetapi keperluan rohani...sesiapa yang mengingati Allah jiwanya akan tenang bukan? Sahabat sekalian, didiklah diri ini untuk ikhlas dalam tunduk dan patuh kepada Allah, serahkan jiwa ini kepada penciptanya dengan penuh rasa damai dan rela hati, berikan makanan rohani dengan secukupnya...berbeza dengan fizikal, rohani akan semakin sihat dan kuat sekiranya makanan yang diberikan semakin banyak, malah rohani tidak pernah merasa penat jika tidak tidur malam untuk beribadah kepada Allah...

Ternyata hebat sekali ciptaan roh ini, mampu menghidupkan jasad yang lemah...setibanya masa ajal, jasad ini akan kembali lemah longlai kerana roh ini terpisah daripada jasadnya...jadi siapakah kita sebenarnya? Adakah kita ini jasad atau roh? Jika anda setuju kita adalah roh, mengapa jasad diutamakan berbanding ‘diri’ kita sendiri?

Berfikir sejenak ketika bangkit dari tidur, sebenarnya kita telah dimatikan Allah ketika tidur, dan Allah menghidupkan kita kembali? Berapa ramai yang mengucapkan lafaz syukur ketika dibukakan matanya? Apakah kita tidak mengerti bahawa Allah telah menghidupkan kita semula? Jika kita sayangkan jasad, kita akan bangkit dengan angkuh untuk memenuhi keperluannya semata-mata, tetapi jika kita sayangkan roh suci ini, maka bangkitlah dengan penuh kesyukuran kerana sekiranya Allah tidak mengizinkan, nescaya mata ini tidak akan terbuka lagi untuk melihat dunia luas...

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Wednesday, January 19, 2011

BENTUK SFERA BUMI

"Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia membungkuskan malam atas siang dan membungkuskan siang atas malam... (Surah Az-Zumar:5)

Dalam Al-Qur'an, perkataan yang digunakan untuk menerangkan alam semesta adalah sangat penting. Kalimah arab yang diertikan sebagai 'membalut' dalam ayat di atas adalah 'takwir', dan dalam bahasa inggeris, ia bermakud 'menjadikan sesuatu membalut sesuatu yang lain, dililit sebagai satu pakaian yang terhampar. Sebagai contoh, dalam kamus arab perkataan ini digunakan untuk perbuatan membalut sesuatu mengelilingi suatu yang lain seperti mana orang yang memakai serban.

Maklumat yang diertikan di dalam ayat mengenai siang dan malam yang membalut antara satu sama lain menyatakan maklumat yang tepat mengenai bentuk dunia. Fenomena ini hanya akan menjadi benar sekiranya bumi adalah berbentuk bulat. Ini bererti bahawa di dalam Al-Qur'an, yang diturunkan di abad ke 7, bentuk sfera bumi telah di disebutkan secara kiasan di dalamnya.

Ianya harus diingat, bagaimanapun, bahawa pemahaman mengenai astronomi ketika itu melihat dunia secara berbeza. Ketika itu difikirkan bahawa bumi berbentuk dataran rata dan semua pengiraan saintifik dan penjelasan berdasarkan kepada kepercayaan ini. Ayat Al-Qur'an bagaimanapun telah memuatkan maklumat yang baru diketahui beberapa abad sebelum ini, oleh kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, perkataan yang paling tepat digunakan di dalamnya ketika menerangkan mengenai alam semesta.

Thursday, January 13, 2011

ORBIT DI DALAM AL-QURAN

Ketika menerangkan mengenai bulan dan matahari dalam Al-Qur'an, ianya ditekankan bersama bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit tertentu;

“Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya).” (Surah al-Anbiya; 33)

Dalam ayat lain dinyatakan juga bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

“Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang maha Perkasa dan maha Mengetahui. “ (Surah Yaasin;38)

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Qur'an ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama. Sebagai tambahan, semua bintang dalam alam semesta adalah berada dalam satu persamaan pergerakan yang telah ditentukan.

Lanjutan hal ini, iaitu alam semesta dipenuhi dengan lintasan dan orbit telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an;

“Demi langit yang mempunyai jalan-jalan” (Surah az-Dzariyat;7)

Terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta, yang mengandungi hampir 200 billion bintang setiap satu. Kebanyakan dari bintang-bintang ini mempunyai planet-planet dan kebanyakan dari planet ini mempunyai satelit.
Semua objek-objek langit ini bergerak menepati orbit-orbit yang telah dicongak. Untuk berapa juta tahun, semuanya 'berenang' melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna bersama-sama dengan yang lain.

Selanjutnya, bilangan komet yang banyak juga bergerak bersama dalam orbit-orbit yang telah ditentukan untuk mereka.

Orbit-orbit dalam alam semesta bukan sahaja dimiliki oleh jasad-jasad langit ini, tetapi juga dimiliki oleh galaksi-galaksi yang bergerak pada kelajuan yang besar dalam orbit-orbit yang telah ditetapkan. Sewaktu dalam pergerakan, tidak ada satupun objek langit ini yang memotong orbit atau bertembung dengan objek lain.

Suatu yang pasti, ketika Al-Qur'an di turunkan manusia tidak mempunyai sebarang teleskop seperti hari ini atau teknologi pemerhatian yang maju untuk memerhati jutaan kilometer ruang angkasa, dan juga tanpa pengetahuan fizik atau astronomi yang moden. Dengan hal ini, ianya suatu yang mustahil ketika itu untuk menentukan secara saintifik bahawa ruang langit 'dipenuhi dengan lintasan dan orbit' seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Bagaimanapun, hal ini secara jelas diterangkan kepada manusia dalam Al-Qur'an yang diwahyukan ketika itu -kerana Al-Qur'an sebenarnya adalah kalam Tuhan.

Wednesday, January 12, 2011

PEMISAHAN LANGIT DAN BUMI

PEMISAHAN LANGIT DAN BUMI

Sepotong ayat mengenai penciptaan langit dinyatakan sebagai berikut.ayat.
"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?". (Surah Al-Anbia: 30)

Kalimah 'ratq' diertikan sebagai dijahit yang bermaksud 'dikumpul bersama, dicampur' dalam kamus bahasa arab. Ianya digunakan untuk merujuk dua intipati yang berbeza yang membina suatu yang menyeluruh. Frasa 'Kami membuka jahitan; adalah perkataan fataq dalam bahasa arab dan menggambarkan bahawa sesuatu yang diwujudkan dengan membelah bahagian atau memusnahkan struktur ratq. Biji benih yang tumbuh bertunas dari tanah adalah satu contoh frasa ini.

Sekarang mari kita perhatikan sejenak ayat ini sekali lagi dengan menyimpan pemahaman ini di dalam minda.
Di dalam ayat tersebut, langit dan bumi pada status pertamanya adalah berbentuk ratq. Kedua-duanya di pisahkan (fataqa) dengan kemunculan satu dari yang satu lagi. Apa yang menarik, apabila kita mengingati saat pertama fenomena Big Bang kita melihat bahawa satu titik tunggal mengandungi semua material alam semesta.

Dalam perkataan lain, setiap benda termasuk langit dan bumi yang masih belum diciptakan lagi, juga termasuk di dalam titik tunggal ini dalam keadaan ratq. Titik ini kemudiannya meletup dalam satu letupan yang besar, menyebabkan materialnya menjadi fataq dan proses ini membentuk keseluruhan struktur alam semesta. Apabila kita membandingkan pernyataan di dalam ayat Al-Qur'an di atas dengan penemuan saintifik, kita mendapati bahawa kedua-duanya berada dalam keserasian yang sempurna di antara satu sama lain. Apa yang cukup menarik perhatian ialah penemuan ini tidak diketahui sehingga abad ke 20.

PENGEMBANGAN ALAM SEMESTA

Dalam Al-Qur'an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti berikut;

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. (Surah az-Dzariyat;47)

Edwin Hubble

Perkataan 'langit' yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam Al-Qur'an yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala.
Di sini sekali lagi, perkataan ini digunakan untuk maksud ini. Dalam perkataan lain, Al-Qur'an mendedahkan hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.

Sehingga penghujung abad ke 20, pandangan yang paling masyhur dalam dunia sains ialah bahawa 'alam semesta mempunyai sifat konstan (statik) dan telah wujud tanpa keterbatasan masa'. Kajian, pemerhatian dan pengiraan yang dijalankan melalui seluruh insfranstruktur teknologi moden, sebenarnya telah menunjukkan bahawa alam semesta telah wujud dalam masa yang terbatas dan berkembang secara konstan.

Pada permulaan abad ke 20, seorang ahli fizik Russia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium George Le'maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan dan ia sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga telah dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya secara konstan bergerak menjauhi sesama mereka, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adalah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah di jelaskan dalam Al-Qur'an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.

Monday, January 10, 2011

SoMe WorDs...

To love is like playing the piano. First, you must learn to play by the rules. Then, you must forget the rules and play from your heart.

As long as we have memories, yesterday remains, as long as we have hope, tomorrow awaits. As long as we have friendship, each day is never a waste.

There are some things that we never want to let go of. People we never want to leave behind, but keep in mind that letting go isn’t the end of the world. It’s the beginning of new life.

Sometimes, it is good to be ‘alone’, but that doesn’t make us lonely.
It is not a matter of being present ‘with’ someone, it is a matter of being present ‘to’ someone. Many people will walk in and out of your life, but leave footprints in your heart.

The greatest regret in our lives are the risks we did not take. If you think something will make you happy, go for it. Remember that you pass this way only once!

Heartbreaks will last as long as you want and cut deep as you allow them to go. The challenge is not how to survive heartbreaks but to learn from them.

True love doesn’t have a happy ending. That’s because true love doesn’t have an ending. A heart truly in love never loses but always believes in the promise of love, no matter how long the time and how far the distance.

We are never given dreams without also being given the power to make them come true.

Sunday, January 9, 2011

Pengembaraan Ilmu...

Dalam pengembaraan alam dunia ini macam-macam kerenah manusia yang kita dapat lihat..saya ingin berkongsi sedikit pandangan peribadi saya berkaitan alam pendidikan, sama ada pelajar sekolah atau universiti, diploma atau degree,walhal master n PhD pun terlibat sama...

Sejak kecil lagi ibu bapa sering nasihatkan anak-anak mereka, "belajar rajin-rajin sampai masuk universiti, nanti dapat kerja gaji besar boleh tolong mak dan ayah...". Tak kurang juga yang mendenda anak mereka sekiranya gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, malah ramai juga yang memaksa anak-anak mereka untuk mengambil jurusan yang tidak diminati anak-anak mereka dengan alasan mereka mahukan anak-anak mereka memperoleh kerja yang dihormati orang ramai. Maka si anak yang umpama kain putih ini pun telah tercorak dengan laluan yang diberikan ibu bapanya, belajar penuh tekun untuk masa depan yang cerah.

Akhirnya si anak tadi pun berjaya dalam SPM, dan melangkah ke alam Universiti.. Bermulalah era baru kehidupannya, belajar untuk memperoleh segulung ijazah. Setiap apa yang diajar di dalam kelas, di ulangkaji setiap malam malah setiap hujung minggu si anak tadi menelaah buku-buku akademik untuk memastikan kecemerlangan miliknya. Tahun demi tahun, akhirnya usaha gigih si anak berhasil. Dia memperoleh keputusan cemerlang dengan kepujian kelas pertama. Tidak sia-sia segala usaha gigihnya selama ini, akhirnya terbalas juga...
Lantas si anak tadi memperoleh kerjaya yang baik, pendapatan yang besar...tapi...masalah mula timbul...

Si anak tadi terlupa jasa ibu bapanya, malah mutu kerjanya pun kurang memuaskan...kehidupan rumah tangganya kian goyah dan diuji...di mana silapnya pada seorang yang berpendidikan tinggi ini? Apakah seorang yang memiliki Ijazah kepujian kelas pertama boleh gagal dalam kerjaya dan hidupnya? Bagi masyarakat kita - mana mungkin begitu...mereka sepatutnya lebih maju, malah mereka dipandang tinggi oleh orang lain kerana pendidikannya.. Tapi persoalannya di manakan silapnya?

Kita imbas kembali perjalanan hidup si anak itu tadi..bermula dengan kelahiran yang serba lemah dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dididik untuk membaca,menulis dan mengira, malah ditambah pula kemahiran mewarna dan berkata-kata...ops..terlupa sesuatu perkara, si anak tidak dihantar untuk belajar Al-Quran! Buku panduan utama kehidupan terlupa untuk diberikan kepada si anak tadi, tetapi buku berkartun kita dahulukan.
Mana mungkin kehidupan terjamin kalau tidak berpegang kepada Quran? Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang lebih kurang bermaksud - sesiapa yang berpegang dengan Quran dan Sunnah pasti tidak akan sesat selama-lamanya...

Di alam persekolahan dan Universiti, si anak tadi tekun belajar, malah segala aktiviti lain diabaikannya... Dia beranggapan bahawa Ijazah adalah segala-galanya, dan terlupa (malah mungkin tidak dididik) tentang tujuan asal penciptaan manusia - untuk beribadah kepada Allah...Sepanjang di alam pengajian, masjid tidak dikunjunginya (kecuali solat Jumaat), kuliah agama tidak dihadirinya, aktiviti masyarakat tidak dipandangnya, malah aktiviti berorganisasi langsung tidak dipedulikannya..patutlah mutu kerjanya merosot, rupanya di anak tadi tidak mahir berorganisasi, tidak tahu etika bermasyarakat, malah mungkin adabnya juga kurang baik...alangkah bagusnya kalau pendidikan agama diutamakan untuk anak-anak, setidak-tidaknya kain yang putih itu tercorak cantik dengan warna-warna keindahan Islam. Dan bukankah indah sekiranya mahasiswa aktif dengan masyarakat dan organisasi...Platform telah disediakan, cuma kita yang tidak mengambil peluang...

Di alam rumahtangga, si anak beroleh isteri yang cantik jelita..Dengan pendapatan yang besar, si anak tadi mampu menyara isterinya, segala kemudahan diberikan, segala permintaan dipenuhi, segala keperluan disediakan... Tapi si anak terlupa sesuatu - ilmu agama untuk isterinya. Mana mungkin rumah tangga yang tidak berpaksikan agama boleh hidup tenang, aman dan bahagia selamanya. Nampak seolah-olah bahagia, tapi sebenarnya mereka masih mencari-cari di mana sinar kebahagiaan yang sebenar. Anak-anak dididik untuk membesar dengan budaya luar seolah-olah Islam tidak cukup baik ajarannya, malah kehidupan seharian diatur tanpa mengambil kira hukum Islam seolah-olah Islam masih kurang dan belum lengkap ajarannya? Alangkah baiknya jika rumah tangga didirikan kerana Allah, dipilih isteri kerana agamanya, dan dididik pula dengan ajaran yang benar...alangkah indahnya setiap hari dilagukan alunan indah ayat suci al-Quran di dalam rumah, dan diserikan lagi dengan solat berjemaah...

Satu perkara lagi, si anak tadi terlupa jasa ibu bapanya...mengapa seorang anak yang berpendidikan tinggi boleh melayan ibu bapanya sebegitu rupa? Bukankah ibu bapanya telah mendidiknya dengan segala cara, dan memasukkannya ke sekolah hingga universiti? Dan bukankah si anak tadi telah memperoleh Ijazah kelas pertama? Di mana pula silapnya? Ops..baru kita sedar bahawa si anak tadi diajar untuk memperoleh dunia! Yang diajar hanyalah mengejar kemewahan dan keperluan dunia, bagaimana pula dengan alam akhirat yang bakal tiba? Jika si anak tadi dididik dengan baik dengan ilmu agama, dan disusuli pula ilmu fardu kifayah, insyaAllah si anak akan beroleh kejayaan dunia dan juga kejayaan akhirat...Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya ibu bapa menyedari bahawa anak-anak mereka dilahirkan dengan memikul amanah yang berat- untuk menegakkan agama Islam yang suci...bekalkanlah mereka dengan ilmu, kuatkan mereka dengan Islam, didik mereka mengenali Allah...nescaya beruntung dunia akhirat...

Renungan buat sahabat-sahabat, kita bukanlah mengejar segulung ijazah, malah segulung kertas ijazah itu tidak akan kita bawa ke dalam kubur...yang kita kejar adalah ilmu, dan yang kita perlukan adalah amalan...betulkan niat kita semua, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda – menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim... Maka kewajipan ini terletak di atas bahu kita semua...Ilmu yang bermanfaat akan dibawa ke alam kubur, dan sahamnya tidak akan habis selagi ilmu itu diajarkan dan diamalkan...Semoga kita mengerti tujuan sebenar kita hidup, jangan menanti ke akhir masa selagi mana masih ada masa...gunakan masa yang ada sebaiknya, tuntutlah ilmu, dan kejayaan akan mengiringimu...!!!

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Saturday, January 8, 2011

Hati Sebesar Cawan Dan Hati Sebesar Kolam

"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.

Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.
Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.
"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.
"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
" Masin!"
Lelaki tua itu tersenyum lagi.
"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."
Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.
"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.
"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.
"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."
"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."
"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."
Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.

www.iluvislam.com

Kegemilangan Dan Keruntuhan Andalus


Daripada Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun.  Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing.  Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.

Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:
Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA:
  • Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
  • Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
  • Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.
  • Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.
Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com/

Friday, January 7, 2011

Pengembaraan Bermula...Kenapa Memilih Neraka?

600 darjah celcius!

Ya! Itulah suhu udara panas yang melingkari perkampungan di persekitaran puncak Gunung Merapi. Demikianlah yang dilaporkan dalam akhbar Jakarta Globe yang saya beli di Lapangan Terbang Sokaerno Hatta, Jakarta pada subuh 7 November 2010 yang lepas... 
 
Selepas lima hari melawati Bandung dan Jakarta dengan doa yang terpahat supaya ditunjukkan dengan hikmah dan kebesaran Allah s.w.t., saya sujud syukur kerana pulang dengan selamat selain memperoleh beberapa ibrah yang telah Allah berikan.

600 darjah celcius.... itu baru suhu gas yang dikeluarkan oleh Gunung Merapi. Malah ia dijangka mencapai 750 darjah celcius. Berapakah agaknya suhu api yang menggelegak di perut Gunung Merapi?
Suhu panas, gas beracun dan debu yang mengandungi silika, sulfur, metana dan lava yang menggelegak, semua itu menjadikan Gunug Merapi sangat menakutkan terutama bagi penduduk Yogyakarta yang seramai 400,000 orang. Yogyakarta hanya terletak 30km dari kawah Gunung Merapi dan Code River yang mengalir dari Gunung Merapi boleh membawa jutaan liter padu limpahan lava ke pertengahan bandar pelancongan itu.
Partikel debu gunung berapi pula tidak sama dengan debu biasa. Di bawah mikroskop, debu biasa berbentuk bulat, tetapi debu volkanik terpecah-pecah ibarat kaca pecah. Sebab itulah, sesiapa yang dimasuki debu volkanik akan mudah mendapat masalah pernafasan kerana sel dalam paru-paru mudah cedera dan rosak.

Kini Yogya semakin sepi. Semua orang takut akan ancaman Gunung Merapi. Takut dimasak hidup-hidup oleh udara panas dan lava Merapi. Terlalu panas. Terlalu mengerikan.

Ni'matnya Maksiat

Maksiat sememangnya terasa begitu ni'mat. Keseronokan melakukan maksiat memang tidak ada tolok tandingnya. Lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh dalam konsert-konsert artis popular. Lihatlah di tepi pantai di malam hari, di dataran dan pusat membeli belah, di pub dan disko, dalam politik, di tempat kerja, di stadium bola... dan tak kurang juga maksiat yang dilakukan dalam lingkungan rumah sendiri: tv, radio, internet, sms & mms, sumbang mahram dll...

Di satu penjuru alam, masjid sepi, majlis ilmu sunyi, perkuburan dijauhi...
Panas Gunung Merapi tidak sama dengan api neraka. Baru disergah dengan debu dan gas, bercempiaran lari penduduk sekitarnya kerana takut apinya meletup sama.
Panas api neraka menyamai 70 kali api di dunia. Tetapi tidak pula Allah percikkan biar setitis pun api neraka di saat kita melakukan maksiat dan kemungkaran kepada-Nya. Betapa Allah s.w.t. Maha Pengasih memberi ruang untuk kita analisis diri dan bertaubat.

Apakah kita mahu menunggu Allah s.w.t. tunjukkan ancaman kedahsyatan api neraka maka pada saat itu baru mahu bertaubat? Pada hari tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya, hanya orang yang semasa di dunia memilih untuk berdamping dan berkasih-kasihan dengan-Nya sahaja yang layak untuk memohon perlindungan.

Ya Tawwab, Ya Tawwab... terimalah taubat kami.

-Artikel iluvislam.com