Saturday, February 26, 2011

Persoalan Ketiga

Persoalan Ketiga : Kemanakah kesudahan kita ?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:-


 Terjemahannya:

“ Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan  kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “
(Surah An Najm ayat 42 – 44)

Persoalan Kedua

Persoalan Kedua :  Mengapakah kita  didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah s.w.t ?.

Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah s.w.t :-
Terjemahannya:

  Tidak  Aku (Allah) jadikan jin  dan  manusia, melainkan untuk  beribadah (mengabdikan)  diri kepada Ku “
(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)

Para ulamak muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar, yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak terbatas  atau  terhad semata-mata  kepada fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada  Allah s.w.t berdasarkan kepada firmanNya  tersebut.   

Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh hidup ini, maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah s.w.t serta mengikut betul-betul arahan yang   telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.


Jika demikian, segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan atau faktor-faktor yang membantu kita untuk taatkan Allah s.w.t serta teguh beribadah kepadaNya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah s.w.t. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang   permainan , gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan ibadah. Bahkan seluruh bumi Allah s.w.t  ini merupakan ‘ masjid ‘, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan.

Sehubungan dengan  Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan bahawa ‘ Setiap perkara yang telah Allah s.w.t perintahkan hamba-hambaNya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya ‘ al Ibadah Fi  al Islam ‘  bahawa  ‘ Sesungguhnya beribadah kepada  Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji  dan perkara-perkara  yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman  sesetengah golongan  Islam  (yang mendakwa Islam).  Ramai yang telah menyangka bahawa  apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap  Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya  yang sebenar ‘

Beliau membuat penjelasan lagi bahawa “ Tidaklah dikira ibadah kepada Allah s.w.t jika seseorang itu berfahaman  aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak,  makan riba’, berjudi serta menolak hukum-hukum syariat Allah s.w.t yang  tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada Allah s.w.t bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain ,  dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah s.w.t.

Oleh  kerana  itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan  kembali mengenal  Islam dan ibadah kepada Allah s.w.t. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah s.w.t. cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah s.w.t  semata-mata. Memadai dia berbuat demikian  untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi  ibadah kepada  Allah s.w.t.

Menurut al Qaradhawi lagi, bahawa ibadah itu merangkumi  dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut adalah:

1.     Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran
2.     Berjihad ke jalan Allah s.w.t.

Menurut huraian asy Syahid Sayyid Qutb, bahawa kerja-kerja menyuruh kepada makruf serta mencegah mungkar tidak boleh dipandang ringan. Umat ini tidak berjaya selagi makruf tidak tertegak sebagai makruf dan mungkar tidak dimusnahkan sebagai mungkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar ini maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak di atas dasar Iman kepada  Allah s.w.t dan Persaudaraan kerana Allah s.w.t  agar hukum-hukum Allah s.w.t terlaksana, kerja-kerja makruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam  sedemikian , maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikut jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah   s.a.w.

Persoalan Pertama

Persoalan  Pertama:  Dari manakah kita datang ?

Jawapannya  akan kita dapati dari Firman Allah s.w.t :-


Terjemahannya:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian  daripada air mani, dari  air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi  orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan   hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui 
(Surah Al Hajj ayat 5)

Monday, February 21, 2011

Andai Seorang Lelaki Itu Datang...

Andai seorang lelaki datang kepadamu ketika kau perlukan teman...
Andai seorang lelaki datang kepadamu dengan ciri-ciri lelaki idaman...
Andai seorang lelaki datang menegur dan membuatmu terhibur...
Andai seorang lelaki datang menanyakan pendapatmu tentang dirinya...
Andai seorang lelaki datang menanyakan tentang ketampanan wajah dan keromantikan dirinya kepadamu...
Andai seorang lelaki datang memintamu membetulkan kolar baju dan rambutnya...
Andai seorang lelaki datang kepadamu sambil merapatkan badannya kepadamu...
Andai seorang lelaki datang tanpa segan silu padamu walau dirimu sudah pemalu, sopan dan ayu...
Andai datang waktu itu, apakah tindakanmu...


MUNGKIN PADA PANDANGAN LELAKI ITU,


"Kau sangat comel pada mataku"
"Kau dah seperti adik kandungku"
"Lu keras macam tomboy takkan lu nak feeling dengan gua"
"Kau dan aku bukan alim sangat jadi tak perlu hipokrit"
"Kaulah kekasihku, kau perlukan belaian dan sokongan moral dariku"
"Aku tahu kau sunyi, aku tak kisah kalau aku kau nodai. Aku sudi dan sabar menanti"
"Oh, kau adalah bakal isteriku, aku harus berlatih dari sekarang 'menumpangkan' bahuku"
"Ku berbuat begini tiada yang tahu, kau takkan cerita pada orang lain"


TETAPI WAHAI PEREMPUAN, ADAKAH ITU YANG KAMU MAHU DAN DAMBAKAN? ADAKAH ITU YANG KAMU PERLUKAN?


Andai seorang lelaki itu datang...
Dan hanya dirimu pengawal gelanggang...


BERANIKAN diri untuk BERUNDUR
GAGAHKAN diri untuk TIDAK CAIR DILEBUR
TABAHKAN diri untuk menjadi PEREMPUAN EKSLUSIF YANG UNGGUL!


Perempuan yang taat hanya pada lelaki bernama ayah dan suami
Perempuan yang sedar maruah dan keunikan diri
Perempuan yang takkan cair dengan pujukan rayu 'syaitan' lelaki
Perempuan yang punya jati diri, berundur kerana TAK MAHU SUAMINYA NANTI DIBAYANGI BEKAS TEMAN-TEMAN LELAKI.
Sesungguhnya, neraka itu hakiki...


Ingatlah wahai diri yang bernama perempuan,
Andai seorang lelaki itu datang...
Beranikanlah diri untuk BERFIKIR dan MENOLAK dengan mata...


-Artikel iluvislam.com

Sunday, February 20, 2011

INSAN ISTIMEWA...

Dengan izin Allah yang Maha Bijaksana, aku dipertemukan dengan seorang insan istimewa, satu daripada berjuta insan yang Allah telah pilih untuk menerima hidayahNya. Dia seorang wanita yang baru melangkah ke usia dewasa, diuji dengan begitu berat dan hebat. Tapi hari ini, dia adalah seorang yang sangat istimewa pada mataku, bukan kerana rupa tapi kerana agamanya...

Dia seorang wanita yang pernah mengalami kisah silam, juga kisah hitam dalam hidupnya. Makin dihimpit rasa putus asa apabila terpaksa dihantar ke suatu tempat pemulihan akhlak. Saat tibanya ke ‘rumah’ barunya, dia meronta tidak mahu ditinggalkan di situ. Tapi apakan daya, hidupnya perlu berubah, dan di rumah itulah kehidupan barunya bermula...

Hampir setahun berlalu, dia kini tidak lagi seperti dahulu – seorang wanita yang selalu bersosial dan bergaul bebas dengan lelaki bukan muhrim, batas aurat tidak dijaga, sering keluar lewat malam dan pulang seawal subuh, solat tidak pernah dilaksanakannya, hingga satu hari telah ditakdirkan kehormatan dirinya diragut seorang insan bernama lelaki, seorang insan yang dia anggap teman hidupnya kini pergi meninggalkan dirinya sendiri.

Kini, dia bukan lagi seperti itu. Rutin hidupnya? Bangun dari tidur seawal jam 3 pagi untuk berzikir, bertahajud, bermunajat, dan membaca lembaran kitab suci Al-Quran dan tafsirnya. Solatnya kini terjaga, malah tidak pernah terlepas daripada solat berjemaah. Di pagi hari, dia membersihkan rumahnya, menyediakan sarapan dan persediaan makan tengahari. Dia juga selalu mengadakan perbincangan bersama teman-temannya dalam persoalan kehidupan dan kematian, dan kini dia adalah seorang naqibah di rumah tersebut, juga bertanggungjawab sebagai pemimpin kepada teman-temannya di situ. Setiap kali masuknya waktu solat, dia bersama teman-temannya akan membaca asma ul-husna, kemudian dimulai dengan solat sunat sebelum solat berjemaah. Solat sunat ibarat wajib untuknya, dan puasa sunat juga tidak pernah  diabaikannya. Seusai solat, Al-Quran peneman dirinya sehingga dia puas mendalami isi kandungannya. Hampir setiap baris ayat itu ada dalam ingatannya, sebagai kekuatan di kala lemah, sebagai pedoman menghadapi kehidupan dunia dan akhirat.

Saat aku bertemunya, segala luahannya aku dengari, setiap kata-katanya mampu menitiskan air matanya, sehingga suaranya makin sayup dan hilang. Setiap kata-katanya tidak terlepas daripada nasihat dan harapan, malah teman-temannya juga tunduk mendengar luahannya. Bagi aku, dia adalah wanita terpilih untuk menerima hidayah Allah, di saat masih ramai hanyut di luar pagar rumah itu.

Masuknya waktu zohor, aku berdiri untuk mengimamkan solat. Hatiku bergetar, jiwaku lemah, terasa aku sangat kecil di hadapan, dan di belakangku berdirinya barisan muslimah yang jiwanya bersih, hatinya tenang dan suci. Aku pula hanyalah seorang insan yang selalu dalam dosa, hati yang selalu lalai dan leka.

Ya Allah, betapa bernilainya hidayahMu...aku rindu untuk kembali kepadaMu dalam keadaan yang bersih dan suci, aku rindu dengan kemanisan ibadah yang pernah kau berikan..Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang lurus, jalan yang benar, dan jalan yang Engkau redhai...janganlah Kau matikan aku melainkan dalam kalimah syahadah, janganlah Kau ambil nyawaku melainkan dalam keadaan aku beriman kepadaMu...

By : Mohd Hafiz Zainuddin

Saturday, February 12, 2011

Pemburu nyawa VS pemburu iman

Ternyata aku tidak gentar sedikit pun dengan pemburu nyawa. Walau diacu senjata di hadapan aku, biarkan ditarik picunya. Bedil dan peluru yang merobek dada tidak akan mampu mengalahkan kerdipan mata tujuh puluh bidadari syurga...

Tapi aku sangat bimbang  dengan pemburu iman, yang bakal merobek dan mencarik imanku sedikit demi sedikit. Di kala lemahnya iman ini, ternyata pemburu itu begitu rakus menjalankan misinya, di saat teguhnya kekuatanku, sang pemburu menggunakan segala helah dan tipu daya...

Sengaja kita diciptakan di atas dunia yang kecil ini, supaya kita SEDAR bahawa Allah Maha Besar, supaya kita MENGAKUI Allah Maka Kuasa, supaya kita MENGINSAFI siapa diri kita. Lahirnya kita ke dunia dengan lemah, menangis tanpa henti. Membesarnya kita dengan diberi kekuatan sedikit demi sedikit, dan tuanya kita dengan ditarik segala nikmat itu semula.

Ketika menjalani kehidupan, kita mula mendalami ilmu, menerokai angkasa, membina bangunan setinggi-tingginya, mencipta segala teknologi tercanggih, mengeluarkan segala isi bumi untuk manfaat bersama, mencipta mesin yang mampu terbang serata dunia, dan menguasai segala bidang di atas dunia...hingga akhirnya...kita menderhakai pencipta!

Lihatlah begitu mudah kita terpedaya, si pemburu iman rakus merosakkan kita, dan kita pula rakus menjadi sahabatnya. Mengejar kejayaan dunia, ramai yang abaikan agama, malah lebih ramai pula menderhakai pencipta! Bukankah ilmu itu sepatutnya mendekatkan kita kepadaNya? Mengapa pula makin jauh dan terjatuh leka?

Ini baru ujian dunia. Ini baru ujian kesenangan. Kita belum diuji dengan peperangan menegakkan agama. Andai tiba saat itu, siapa di antara kita yang gagah mengangkat tangan ingin turut serta dalam perjuangan? Atau lebih ramai yang sibuk memikirkan di mana akan disimpan harta bendanya jika berlaku peperangan?

Awas! Pemburu iman berada di mana-mana. Inilah satu lagi projek kerajaan Syaitan dan sekutunya. Kesulitan amat dikesali, cegah sebelum parah...anda mampu mengubahnya.

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Monday, February 7, 2011

Pemimpin dan Agama

Saat ini saya ingin menghuraikan tentang 2 elemen yang terbentuk setelah saya mengamati beberapa perkara dalam kehidupan seharian. Ternyata dalam banyak-banyak elemen yang wujud di persekitaran, terlintas kedua-dua elemen di atas sebagai tajuk perbincangan. Mungkin ada hikmah di sebaliknya, dan semoga Allah menambahkan lagi ilmu kita untuk baja tanaman dunia, dan hasil tuaian akhirat.

Saat bergelar pemimpin, saya ingin kenalkan anda dengan seorang pemimpin yang banyak berjasa pada anda, pemimpin yang telah memandu hidup anda sekian lama, pemimpin yang bertanggungjawab atas kejayaan dan kegagalan anda. Siapakah pemimpin itu? Izinkan saya ambil masa anda dalam 2 minit. Dapatkan cermin, dan letakkan di hadapan anda. Lihat ke dalam cermin itu, wajah siapa yang kelihatan? Nah, itulah dia wajah pemimpin yang saya maksudkan sebentar tadi. Benarlah dia yang memimpin anda selama ini bukan? Segala keputusannya mempengaruhi hidup anda. Saat anda berjaya dan gagal, si pemimpin itu tadilah yang merencanakan hidup anda. Anda adalah pemimpin! Setidak-tidaknya pemimpin pada diri anda sendiri. Mahu tidak mahu, anda mesti memimpin diri anda jika tidak mahu ‘kapal’ anda karam di tengah lautan. Itulah ibaratnya hidup ini, jika tiada persediaan, tiada ilmu yang cukup, tiada jiwa yang berani, anda tidak akan mampu meredah walau ombak kecil sekalipun kerana takutnya kematian, sedangkan kematian itu tetap hadir pada masanya, tidak berubah walau satu saat pun. Maka apa persediaan anda wahai pemimpin? Persiapan kematian perlu diperhebatkan!

Sekarang lihat pula sekeliling anda. Anda adalah pemimpin diri anda bukan? Sekarang lihat bagaimana kehidupan masyarakat sekeliling anda. Adakah mereka juga pemimpin yang berjaya? Jika tidak, apa yang perlu anda lakukan? Kuasa kepimpinan jangan disia-siakan. Anda mesti mengubah kegagalan mereka untuk kejayaan masa hadapan. Bagaimana caranya ingin mengubah mereka sedangkan mereka juga adalah pemimpin? Hanya satu caranya-kembalikan semula semuanya kepada AGAMA!

Sekarang kita telah memasuki elemen kedua iaitu agama. Sesungguhnya agama yang diredhai Allah adalah Islam. Terang dan jelas, ayat itu dengan mutlaknya meletakkan Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai Allah. Lihat kembali kitab-kitab Islam, ternyata sebesar-besar urusan sehingga sekecil-kecil perkara di ajar dengan teliti dan diperbahaskan panjang lebar. Untuk siapa semua itu kalau bukan untuk kita umat Islam. Maka tugas kita sebagai pemimpin adalah untuk membawa risalah itu kepada semua makhluk Allah, agar mereka menerima ilmu Islam serta dikurniakan hidayah oleh Allah, insyaAllah. Ayatnya macam mudah, tetapi perlaksanaanya berliku dengan ujian dan kepahitan, tapi percayalah di sebalik semua itu tersembunyi satu kenikmatan yang tidak terhingga, bahkan segala ujian itu kelihatan kecil jika dibandingkan dengan nikmat yang bakal diterima kelak. Sesiapa yang membantu agama Allah nescaya Allah akan membantunya dan meneguhkan kedudukannya. Itu satu janji daripada Allah yang tidak ada ragunya lagi.

Semoga kita bertemu lagi untuk perbincangan seterusnya...

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

Saturday, February 5, 2011

Langit Sebagai Bumbung Protektif.

Dalam Al-Qur'an, Tuhan menarik perhatian kita kepada ciri-ciri yang sangat mengagumkan di atas langit;

“ Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap terpelihara sedang mereka berpaling dari segala tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (Surah al-Anbiya; 32)

Sifat istimewa langit ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan pada abad ke 20 ini.

Ruang atmosefera yang mengelilingi bumi sebenarnya menjalankan fungsi yang sangat penting untuk mengekalkan kehidupan untuk wujud. Ketika memusnahkan meteor-meteor besar dan kecil ketika mendekati bumi, ia menghalangnya dari jatuh ke dalam bumi dan dari membahayakan makhluk hidupan.

Sebagai tambahan, atmosfera menapis sinaran yang datang dari luar angkasa yang sangat membahayakan kepada hidupan. Apa yang menariknya, atmosfera menelap sinaran yang berguna dan berfaedah- cahaya nampak, tak nampak dan gelombang radio - untuk menembusinya. Semua jenis radiasi ini adalah sangat penting kepada kehidupan. Cahaya nampak, yang sebahagiannya dibenarkan menembusi dalam atmosfera adalah sangat diperlukan untuk menjalankan proses fotosintesis dalam tumbuhan yang membantu mengekalkan makhluk hidupan. Kebanyakan sinaran ultra violet dengan keamatan tinggi yang dipancarkan oleh matahari di telap keluar oleh lapisan ozon dalam atmosfera dan hanya membataskan -dan yang paling penting- bahagian kecil dalam spektrom ultra violet untuk mencecah permukaan bumi.

Fungsi protefktif atmosfera tidak berakhir di sini. Atmosfera juga melindungi bumi dari kesan pembekuan dari luar angkasa, dengan suhu lebih kurang -270 darjah centigrade.

Sebenarnya atmosfera tidak bersendirian dalam menjalankan fungsi perlindungan kepada bumi. Sebagai tambahan kepada atmosfera, Jalur Allan Velt, lapisan yang dihasilkan oleh medan magnet bumi, juga berfungsi sebagai perlindungan menentang radiasi yang merbahaya yang mengancam planet kita. Radiasi merbahaya ini, yang secara berterusan dipancarkan oleh matahari dan bintang-bintang lain berpotensi membawa maut kepada makhluk hidupan. Sekiranya Jalur Van Allan tidak wujud, letupan besar-besaran oleh tenaga yang dipanggil nyalaan solar (solar flares) yang kerap terjadi di matahari akan menghancurkan semua kehidupan dalam dunia.
Dr Hugh Ross menyatakan hal ini mengenai kepentingan jalur Van Allen kepada kehidupan;

Sebenarnya, bumi mempunyai kepadatan paling tinggi berbanding sebarang planet dalam sistem solar kita. Teras besar nikal-besi ini bertanggungjawab untuk medan magnet gergasi kita.
Medan magnet ini menghasilkan perisai radiasi Van Allen yang melindungi bumi dari pengeboman radiasi. Sekiranya perisai ini tidak wujud, kehidupan tidak mungkin berada di bumi. Satu-satunya planet berbatu yang mempunyai medan magnet ialah Utarid- tetapi kekuatan medannya 100 kali lebih kecil berbanding medan magnet bumi, bahkan Zuhrah, saudara planet kita, tidak mempunyai sebarang medan magnet. Perisai radiasi Van Allen adalah satu rekaan yang unik kepada bumi.

Tenaga yang dipancarkan dari salah satu pembakaran yang dikesan baru-baru ini telah dikira dan dipastikan adalah bersamaan dengan 100 juta kali ganda bom atom yang digugurkan di Hiroshima!!. 58 jam selepas letupan ini, jarum kompas magnetik diperhatikan menunjukkan pergerakan yang luar biasa dan 250 kilometer di atas atmosfera bumi, suhu jatuh mendadak kepada 2500 darjah selsius.
Ringkasnya, sebuah sistem yang sempurna sedang bekerja di luar permukaan bumi.

Ia mengelilingi dunia kita dan melindunginya dari ancaman luar. Saintis hanya menyedari hal ini beberapa tahun lalu. Tetapi Tuhan telah menerangkan kepada kita dalam Al-Qur'an mengenai atmosfera bumi yang berfungsi sebagai perisai pelindung 14 abad lalu.