Thursday, January 27, 2011

Jangan dilupa kelopakmu...

Wahai pemudi, engkau aku umpamakan sekuntum bunga yang cantik, menghiasi taman dunia ini dengan pelbagai warna dan haruman asli. Setiap pagi engkau kelihatan menyerlah dengan keindahanmu, Subhanallah, begitu teliti Allah menciptakanmu. Setiap petang engkau kelihatan tenang di bawah redup cahaya, memberi inspirasi dan semangat kepada pemuda yang lemah. Setiap malam engkau berseri di bawah cahaya bulan yang mendamaikan, melengkapkan suasana yang dingin dan sunyi...

Wahai pemudi, bunga bestari...suatu ketika dahulu ketika engkau masih kecil, engkau dilindungi oleh kelopakmu yang setia, engkau dipelihara daripada panas dan basah, engkau diselamatkan dari lebah yang mencari madu...tapi apabila engkau telah dewasa, engkau mula berani mengembangkan wajahmu, membuka kelopak itu satu masa dahulu...kini engkau telah pun menjadi seperti apa yang engkau mahu, engkau punya wajah yang indah dan berseri, engkau pamerkan kepada setiap yang melalui taman itu...

Akhirnya ditakdirkan suatu masa, lebah mula mendatangimu, menghirup madumu...engkau terus melempiaskan kecantikanmu, kerana engkau cemburu dengan bunga-bunga lain yang semakin mengembang mekar...engkau bersaing untuk menarik pandangan pemuda...sehingga engkau terlupa, terlupa kepada kelopak yang pernah melindungimu suatu ketika dahulu...melindungimu dari panas dan hujan, memeliharamu daripada lebah dan kumbang...

Akhirnya kelopakmu luruh menyembah bumi, kerana tidak mampu lagi menjagamu...engkau semakin membesar, tetapi engkau lupa kepada bumi tempat engkau tumbuh. Engkau terlupa kepada cahaya matahari dan air hujan yang Allah turunkan untuk menghidupkanmu, dan engkau juga terlupa bahawa kecantikan itu adalah ujian buatmu...

Engkau begitu asyik, mempamerkan kecantikanmu seolah-olah engkau rugi jika kecantikan itu disimpan...tetapi engkau terlupa bahawa kecantikan itu juga bakal memusnahkanmu...akhirnya madumu habis dirampas sang lebah, dan jasadmu makin lemah, hayatmu makin hampir, tenagamu makin kurang. Tiba masanya engkau kembali menyembah bumi, disiram semula hujan dan dipancari cahaya matahari, tetapi engkau tidak mampu hidup kembali...pemergianmu bukanlah untuk kembali ke bumi, bunga yang lain pula akan tumbuh di taman itu, dan akan mengulangi kesilapanmu...

Sedarilah wahai pemudi, Allah telah menyampaikan amanat kepadamu melalui kitab suci al-Quran, ayat-ayatnya adalah kata-kata Allah, begitu suci kitab itu diturunkan buat kita yang hina ini...malah kita juga sombong tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya...kajilah kitab itu buat bekalan hidup kita, buat panduan laluan kita, buat pedoman dan pengajaran kesilapan kita, kerana di dalamnya terkandung semua asas ilmu, tersembunyi berjuta rahsia, termuat segala jalan keluar daripada permasalahan kita...

Semoga coretan ini dapat menjentik hati kita agar menyedari bahawa kita sering terleka. Dalam kesibukan mengejar cita-cita, kadangkala kita terlupa mengingatiNya, malah terlupa saat kematian makin tiba. Apabila terdengar berita kematian seseorang, bergetar hati kita kerana tidak pernah kita bimbangkan saat itu terjadi kepada kita, kerana rakusnya mengejar dunia. Ingatlah, atas setiap apa pun yang kita lakukan, redha Allah perlu kita cari...sekian daripada hamba yang lemah, mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap. Selagi jantung ini berdegup, semoga kita sentiasa berada pada jalan yang benar dan berjuang untuk agama Allah, sebagai bekalan saham akhirat yang tidak akan rugi, insyaAllah...

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

1 comment: