Thursday, January 20, 2011

Terlupa Makan?

Setiap hari bangun dari tidur, terlintas di fikiran untuk menjamah sarapan pagi sebagai bekalan tenaga untuk bekerja...setibanya tengahari,sekali lagi makanan diperlukan untuk membekalkan lebih banyak tenaga..begitu juga malam, dan tidak kurang juga manusia yang memerlukan makanan tengah malam bagi yang bekerja keras...

Ternyata peranan makanan sangat penting untuk keperluan fizikal, iaitu tubuh badan kita...apabila diperlukan hidangan, kita penuhi keinginannya...apabila diperlukan pakaian, kita tutupinya...apabila diperlukan rehat,kita tidurkannya...jika tidak,kita akan terasa lemah dan longlai untuk bekerja,apatah lagi sebagai pelajar...

Tapi sedarkah kita, dalam usaha keras setiap hari untuk memenuhi keperluan jasad ini, ternyata keperluannya tidak pernah terhenti malah jasad ini akan terus menagih janjinya untuk diberikan segala bekalan dengan cukup...lemahnya jasad ini, tidak boleh kurang atau terlebih makan, tidak boleh kurang atau terlebih tidur, tidak boleh kurang atau terlebih bekerja...semuanya mesti sederhana dan berterusan...sampai bila-bila pun keperluan jasad ini jika kita isi, tetap tidak akan puas...malah ketenangan hidup itu bukanlah bergantung kepada jasad ini semata-mata...

Berapa ramai orang yang bekerja untuk keperluan kebendaan semata-mata? Ramai bukan? Mengapa begitu? Kerana mereka merasakan bahawa kebahagiaan itu adalah terletak pada keperluan fizikal semata-mata...kita terlupa sesuatu, bahkan terus lalai dari mengingati sesuatu..apakah itu?

Dalam mengisi keperluan fizikal yang dipinjamkan Allah, kita terlupa bahawa roh juga memerlukan makanan...di saat perut terasa lapar dan dahaga, kita terlupa bahawa roh ini juga sangat rindukan Tuhannya...mengapa kita begitu zalim menyekat roh ini daripada melunaskan keperluannya? Pernahkan kita rasa betapa sakitnya rasa seorang ibu yang kehilangan anak? Pernahkan kita rasa betapa sakitnya kehilangan insan yang sangat kita cintai? Dan pernahkah kita rasakan betapa peritnya penderitaan roh ini yang sangat rindukan Tuhannya? Jika kita mampu habiskan berpuluh jam untuk memenuhi keperluan fizikal, mengapa sukar untuk meluangkan masa tidak sampai 1 jam pun sehari untuk roh bertemu penciptanya?

Apakah pandangan kita terhadap seseorang yang menghalang orang lain daripada menunaikan solat?  Biadab bukan? Malah lebih zalim daripada Yahudi. Tapi pernahkah kita terfikir, kadangkala kita sendiri menghalang roh kita daripada bertemu Allah, malah kita juga yang menghalang roh kita daripada mendekati ayat-ayat Allah. Apakah bezanya kita dengan Yahudi yang cuba menjauhkan Islam daripada Quran? Bukankah kita yang menjauhinya dengan hati sendiri?

Ternyata kebahagiaan itu bukanlah bergantung kepada keperluan fizikal, tetapi keperluan rohani...sesiapa yang mengingati Allah jiwanya akan tenang bukan? Sahabat sekalian, didiklah diri ini untuk ikhlas dalam tunduk dan patuh kepada Allah, serahkan jiwa ini kepada penciptanya dengan penuh rasa damai dan rela hati, berikan makanan rohani dengan secukupnya...berbeza dengan fizikal, rohani akan semakin sihat dan kuat sekiranya makanan yang diberikan semakin banyak, malah rohani tidak pernah merasa penat jika tidak tidur malam untuk beribadah kepada Allah...

Ternyata hebat sekali ciptaan roh ini, mampu menghidupkan jasad yang lemah...setibanya masa ajal, jasad ini akan kembali lemah longlai kerana roh ini terpisah daripada jasadnya...jadi siapakah kita sebenarnya? Adakah kita ini jasad atau roh? Jika anda setuju kita adalah roh, mengapa jasad diutamakan berbanding ‘diri’ kita sendiri?

Berfikir sejenak ketika bangkit dari tidur, sebenarnya kita telah dimatikan Allah ketika tidur, dan Allah menghidupkan kita kembali? Berapa ramai yang mengucapkan lafaz syukur ketika dibukakan matanya? Apakah kita tidak mengerti bahawa Allah telah menghidupkan kita semula? Jika kita sayangkan jasad, kita akan bangkit dengan angkuh untuk memenuhi keperluannya semata-mata, tetapi jika kita sayangkan roh suci ini, maka bangkitlah dengan penuh kesyukuran kerana sekiranya Allah tidak mengizinkan, nescaya mata ini tidak akan terbuka lagi untuk melihat dunia luas...

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

No comments:

Post a Comment