Sunday, February 20, 2011

INSAN ISTIMEWA...

Dengan izin Allah yang Maha Bijaksana, aku dipertemukan dengan seorang insan istimewa, satu daripada berjuta insan yang Allah telah pilih untuk menerima hidayahNya. Dia seorang wanita yang baru melangkah ke usia dewasa, diuji dengan begitu berat dan hebat. Tapi hari ini, dia adalah seorang yang sangat istimewa pada mataku, bukan kerana rupa tapi kerana agamanya...

Dia seorang wanita yang pernah mengalami kisah silam, juga kisah hitam dalam hidupnya. Makin dihimpit rasa putus asa apabila terpaksa dihantar ke suatu tempat pemulihan akhlak. Saat tibanya ke ‘rumah’ barunya, dia meronta tidak mahu ditinggalkan di situ. Tapi apakan daya, hidupnya perlu berubah, dan di rumah itulah kehidupan barunya bermula...

Hampir setahun berlalu, dia kini tidak lagi seperti dahulu – seorang wanita yang selalu bersosial dan bergaul bebas dengan lelaki bukan muhrim, batas aurat tidak dijaga, sering keluar lewat malam dan pulang seawal subuh, solat tidak pernah dilaksanakannya, hingga satu hari telah ditakdirkan kehormatan dirinya diragut seorang insan bernama lelaki, seorang insan yang dia anggap teman hidupnya kini pergi meninggalkan dirinya sendiri.

Kini, dia bukan lagi seperti itu. Rutin hidupnya? Bangun dari tidur seawal jam 3 pagi untuk berzikir, bertahajud, bermunajat, dan membaca lembaran kitab suci Al-Quran dan tafsirnya. Solatnya kini terjaga, malah tidak pernah terlepas daripada solat berjemaah. Di pagi hari, dia membersihkan rumahnya, menyediakan sarapan dan persediaan makan tengahari. Dia juga selalu mengadakan perbincangan bersama teman-temannya dalam persoalan kehidupan dan kematian, dan kini dia adalah seorang naqibah di rumah tersebut, juga bertanggungjawab sebagai pemimpin kepada teman-temannya di situ. Setiap kali masuknya waktu solat, dia bersama teman-temannya akan membaca asma ul-husna, kemudian dimulai dengan solat sunat sebelum solat berjemaah. Solat sunat ibarat wajib untuknya, dan puasa sunat juga tidak pernah  diabaikannya. Seusai solat, Al-Quran peneman dirinya sehingga dia puas mendalami isi kandungannya. Hampir setiap baris ayat itu ada dalam ingatannya, sebagai kekuatan di kala lemah, sebagai pedoman menghadapi kehidupan dunia dan akhirat.

Saat aku bertemunya, segala luahannya aku dengari, setiap kata-katanya mampu menitiskan air matanya, sehingga suaranya makin sayup dan hilang. Setiap kata-katanya tidak terlepas daripada nasihat dan harapan, malah teman-temannya juga tunduk mendengar luahannya. Bagi aku, dia adalah wanita terpilih untuk menerima hidayah Allah, di saat masih ramai hanyut di luar pagar rumah itu.

Masuknya waktu zohor, aku berdiri untuk mengimamkan solat. Hatiku bergetar, jiwaku lemah, terasa aku sangat kecil di hadapan, dan di belakangku berdirinya barisan muslimah yang jiwanya bersih, hatinya tenang dan suci. Aku pula hanyalah seorang insan yang selalu dalam dosa, hati yang selalu lalai dan leka.

Ya Allah, betapa bernilainya hidayahMu...aku rindu untuk kembali kepadaMu dalam keadaan yang bersih dan suci, aku rindu dengan kemanisan ibadah yang pernah kau berikan..Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang lurus, jalan yang benar, dan jalan yang Engkau redhai...janganlah Kau matikan aku melainkan dalam kalimah syahadah, janganlah Kau ambil nyawaku melainkan dalam keadaan aku beriman kepadaMu...

By : Mohd Hafiz Zainuddin

2 comments:

  1. insyaallah kita mendapat mengambil iktibar daripada pengalaman yang telah berlaku kepada mereka sebagai peringatan kepada kita semua selama kita hidup di pentas lakonan ALLAH ini....

    ReplyDelete
  2. jadi imam org ek nnt.. (:

    ReplyDelete