Sunday, January 9, 2011

Pengembaraan Ilmu...

Dalam pengembaraan alam dunia ini macam-macam kerenah manusia yang kita dapat lihat..saya ingin berkongsi sedikit pandangan peribadi saya berkaitan alam pendidikan, sama ada pelajar sekolah atau universiti, diploma atau degree,walhal master n PhD pun terlibat sama...

Sejak kecil lagi ibu bapa sering nasihatkan anak-anak mereka, "belajar rajin-rajin sampai masuk universiti, nanti dapat kerja gaji besar boleh tolong mak dan ayah...". Tak kurang juga yang mendenda anak mereka sekiranya gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, malah ramai juga yang memaksa anak-anak mereka untuk mengambil jurusan yang tidak diminati anak-anak mereka dengan alasan mereka mahukan anak-anak mereka memperoleh kerja yang dihormati orang ramai. Maka si anak yang umpama kain putih ini pun telah tercorak dengan laluan yang diberikan ibu bapanya, belajar penuh tekun untuk masa depan yang cerah.

Akhirnya si anak tadi pun berjaya dalam SPM, dan melangkah ke alam Universiti.. Bermulalah era baru kehidupannya, belajar untuk memperoleh segulung ijazah. Setiap apa yang diajar di dalam kelas, di ulangkaji setiap malam malah setiap hujung minggu si anak tadi menelaah buku-buku akademik untuk memastikan kecemerlangan miliknya. Tahun demi tahun, akhirnya usaha gigih si anak berhasil. Dia memperoleh keputusan cemerlang dengan kepujian kelas pertama. Tidak sia-sia segala usaha gigihnya selama ini, akhirnya terbalas juga...
Lantas si anak tadi memperoleh kerjaya yang baik, pendapatan yang besar...tapi...masalah mula timbul...

Si anak tadi terlupa jasa ibu bapanya, malah mutu kerjanya pun kurang memuaskan...kehidupan rumah tangganya kian goyah dan diuji...di mana silapnya pada seorang yang berpendidikan tinggi ini? Apakah seorang yang memiliki Ijazah kepujian kelas pertama boleh gagal dalam kerjaya dan hidupnya? Bagi masyarakat kita - mana mungkin begitu...mereka sepatutnya lebih maju, malah mereka dipandang tinggi oleh orang lain kerana pendidikannya.. Tapi persoalannya di manakan silapnya?

Kita imbas kembali perjalanan hidup si anak itu tadi..bermula dengan kelahiran yang serba lemah dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dididik untuk membaca,menulis dan mengira, malah ditambah pula kemahiran mewarna dan berkata-kata...ops..terlupa sesuatu perkara, si anak tidak dihantar untuk belajar Al-Quran! Buku panduan utama kehidupan terlupa untuk diberikan kepada si anak tadi, tetapi buku berkartun kita dahulukan.
Mana mungkin kehidupan terjamin kalau tidak berpegang kepada Quran? Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang lebih kurang bermaksud - sesiapa yang berpegang dengan Quran dan Sunnah pasti tidak akan sesat selama-lamanya...

Di alam persekolahan dan Universiti, si anak tadi tekun belajar, malah segala aktiviti lain diabaikannya... Dia beranggapan bahawa Ijazah adalah segala-galanya, dan terlupa (malah mungkin tidak dididik) tentang tujuan asal penciptaan manusia - untuk beribadah kepada Allah...Sepanjang di alam pengajian, masjid tidak dikunjunginya (kecuali solat Jumaat), kuliah agama tidak dihadirinya, aktiviti masyarakat tidak dipandangnya, malah aktiviti berorganisasi langsung tidak dipedulikannya..patutlah mutu kerjanya merosot, rupanya di anak tadi tidak mahir berorganisasi, tidak tahu etika bermasyarakat, malah mungkin adabnya juga kurang baik...alangkah bagusnya kalau pendidikan agama diutamakan untuk anak-anak, setidak-tidaknya kain yang putih itu tercorak cantik dengan warna-warna keindahan Islam. Dan bukankah indah sekiranya mahasiswa aktif dengan masyarakat dan organisasi...Platform telah disediakan, cuma kita yang tidak mengambil peluang...

Di alam rumahtangga, si anak beroleh isteri yang cantik jelita..Dengan pendapatan yang besar, si anak tadi mampu menyara isterinya, segala kemudahan diberikan, segala permintaan dipenuhi, segala keperluan disediakan... Tapi si anak terlupa sesuatu - ilmu agama untuk isterinya. Mana mungkin rumah tangga yang tidak berpaksikan agama boleh hidup tenang, aman dan bahagia selamanya. Nampak seolah-olah bahagia, tapi sebenarnya mereka masih mencari-cari di mana sinar kebahagiaan yang sebenar. Anak-anak dididik untuk membesar dengan budaya luar seolah-olah Islam tidak cukup baik ajarannya, malah kehidupan seharian diatur tanpa mengambil kira hukum Islam seolah-olah Islam masih kurang dan belum lengkap ajarannya? Alangkah baiknya jika rumah tangga didirikan kerana Allah, dipilih isteri kerana agamanya, dan dididik pula dengan ajaran yang benar...alangkah indahnya setiap hari dilagukan alunan indah ayat suci al-Quran di dalam rumah, dan diserikan lagi dengan solat berjemaah...

Satu perkara lagi, si anak tadi terlupa jasa ibu bapanya...mengapa seorang anak yang berpendidikan tinggi boleh melayan ibu bapanya sebegitu rupa? Bukankah ibu bapanya telah mendidiknya dengan segala cara, dan memasukkannya ke sekolah hingga universiti? Dan bukankah si anak tadi telah memperoleh Ijazah kelas pertama? Di mana pula silapnya? Ops..baru kita sedar bahawa si anak tadi diajar untuk memperoleh dunia! Yang diajar hanyalah mengejar kemewahan dan keperluan dunia, bagaimana pula dengan alam akhirat yang bakal tiba? Jika si anak tadi dididik dengan baik dengan ilmu agama, dan disusuli pula ilmu fardu kifayah, insyaAllah si anak akan beroleh kejayaan dunia dan juga kejayaan akhirat...Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya ibu bapa menyedari bahawa anak-anak mereka dilahirkan dengan memikul amanah yang berat- untuk menegakkan agama Islam yang suci...bekalkanlah mereka dengan ilmu, kuatkan mereka dengan Islam, didik mereka mengenali Allah...nescaya beruntung dunia akhirat...

Renungan buat sahabat-sahabat, kita bukanlah mengejar segulung ijazah, malah segulung kertas ijazah itu tidak akan kita bawa ke dalam kubur...yang kita kejar adalah ilmu, dan yang kita perlukan adalah amalan...betulkan niat kita semua, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda – menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim... Maka kewajipan ini terletak di atas bahu kita semua...Ilmu yang bermanfaat akan dibawa ke alam kubur, dan sahamnya tidak akan habis selagi ilmu itu diajarkan dan diamalkan...Semoga kita mengerti tujuan sebenar kita hidup, jangan menanti ke akhir masa selagi mana masih ada masa...gunakan masa yang ada sebaiknya, tuntutlah ilmu, dan kejayaan akan mengiringimu...!!!

By : Mohd Hafiz bin Zainuddin

2 comments: